KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Mac, 2012: Akses kemasukan penuntut ke peringkat pengajian tinggi akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui penambahan tempat yang disediakan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk itu bilangan tempat yang akan ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2012/2013 ini dijangka meningkat sebanyak 8.8 peratus berbanding sesi lalu.
Peningkatan itu jelasnya, turut merangkumi politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dengan 202,339 tempat.
''Secara terperinci, peningkatan tersebut termasuk pertambahan 11 peratus untuk tempat pengajian peringkat ijazah iaitu dari 51,805 tempat kepada 57,492 tempat.
''Lebih penting, pertambahan sebanyak 25 peratus tempat untuk kemasukan peringkat diploma atau sijil ke Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT), politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA iaitu dari 78,780 tempat kepada 99,034 tempat,'' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment