My Add

Wednesday 4 April 2012

DUN Kuala Nerang jadi kawasan angkat UMNO Kedah

ALOR SETAR, RABU, 04 April, 2012: UMNO Kedah akan menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang sebagai kawasan angkat berikutan wakil rakyatnya, Datuk Syed Sobri Syed Hashim hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas diisytiharkan muflis oleh mahkamah. 

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata UMNO Kedah memberi jaminan akan memastikan kepentingan penduduk di kawasan berkenaan sentiasa terjaga. "Rakyat kawasan itu tidak perlu bimbang kerana UMNO negeri akan memastikan kepentingan mereka sentiasa dijaga kerana DUN Kuala Nerang dijadikan kawasan angkat UMNO Kedah," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa Syed Sobri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap sebagai ADUN dan berkata BN negeri sudah beberapa kali membantu menangani masalah hutangnya itu. 

"Saya sudah dimaklumkan berhubung kedudukan Syed Sobri dan kita bersimpati dengan nasibnya itu. Kita kehilangan seorang wakil rakyat yang rajin bekerja untuk menjaga kepentingan masyarakat di kawasannya," katanya. 

Beliau juga berharap Syed Sobri dapat terus menyumbang baktinya kepada UMNO dan BN di kawasan itu, walaupun kini bukan lagi wakil rakyat. 

Syed Sobri malam tadi mengumumkan kepada penyokongnya beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember lalu selepas gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.

Beliau dilaporkan berkata, hutang itu adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia ketika itu, bagaimanapun negara mengalami kegawatan ekonomi dan syarikatnya gagal disenaraikan menyebabkan beliau terpaksa menanggung hutang. 

Syed Sobri juga dilaporkan berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada UMNO negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang ditemuinya semalam. 

Mengikut Perkara 47(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, seorang anggota DUN hilang kelayakan jika ia seorang muflis yang belum dilepaskan. 

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Syed Sobri yang bertanding buat pertama kali menewaskan calon PAS Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment