My Add

Wednesday 4 April 2012

Pertabalan Agong bakal tarik penyertaan rakyat: Rais

KUALA LUMPUR, RABU, 04 April, 2012:: Pelbagai acara yang diatur sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, pada Rabu depan bakal membabitkan penyertaan rakyat pelbagai kaum di negara ini. 

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata, program yang disusun sempena majlis pertabalan pada 11 hingga 21 April itu bukan sahaja bagi menambah keceriaan majlis tetapi juga memberi peluang kepada rakyat untuk turut serta selain meningkatkan kefahaman mereka mengenai Institusi Diraja.

Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, berkata selain Istiadat Pertabalan dan Majlis Santapan Diraja yang akan diadakan mengikut tradisi dan nilai Diraja Melayu, program lain yang adalah Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat pada 12 April dan Khutbah Khas Sembahyang Jumaat pada 13 April di Masjid Negara.

Program lain ialah Acara Golf Diraja di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada 14 April, Pameran Raja Kita di Istana Negara lama pada 15 April, Majlis Jamuan Mesra Kanak-Kanak Bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Istana Negara, Jalan Duta pada 21 April dan Persembahan Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada di Dataran Merdeka pada 21 April. 

"Apa yang penting ialah masyarakat biasa akan turut bersama mengisi keceriaan sempena majlis pertabalan ini, termasuk masyarakat bukan Islam juga berpeluang untuk bersama-sama menjalankan kegiatan kerana ia akan melibatkan semua pihak," katanya. 

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menghadap Seri Paduka berdua bagi mempersembahkan pandangan Jawatankuasa Pertabalan berhubung susunan program dan acara-acara penting sempena majlis pertabalan itu. 

Katanya, pameran Raja Kita di Istana Negara lama akan memberi peluang kepada rakyat antaranya untuk mengetahui secara dekat interpretasi Perlembagaan Persekutuan terhadap peranan Yang di-Pertuan Agong dalam perundangan dan kehakiman, selain fungsi sosial Seri Paduka yang perlu diketahui rakyat. 

"Pameran ini bukan sahaja penting sebab temanya tetapi ia sekali gus dapat memberi pandangan meluas mengenai Institusi Diraja. Kita jarang melihat konsep menyeluruh bagaimana Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan sesuatu keadaan, contohnya untuk mengisytiharkan darurat, jadi pameran ini antaranya akan menceritakan pengisian begini," katanya. 

Selain itu, Rais berkata lebih 50,000 naskah buku kecil mengenai Yang di-Pertuan Agong akan diedarkan ke seluruh sekolah dan badan-badan bukan kerajaan di negara ini yang menjelaskan kedudukan dan kuasa-kuasa Seri Paduka. 

Filem Negara Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menghasilkan dan menyiarkan dokumentari khas untuk memberi gambaran bahawa sistem demokrasi yang menjadi amalan di negara ini sudah mewujudkan cantuman antara pemerintah dengan rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment