My Add

Wednesday 4 April 2012

Kabinet bincang penubuhan Jawatankuasa Khas pantau syor PSC

KUALA LUMPUR, RABU, 04 April, 2012: Cadangan supaya sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen ditubuhkan bagi memastikan perlaksanaan 22 syor yang dicadangkan dalam laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet, Jumaat ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, setakat ini, kerajaan belum membincangkan perkara itu.

"Kami belum membincangkan perkara berkenaan tetapi ia akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas supaya Dewan Rakyat menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengawasi dan meneliti semua usaha yang dicadangkan bagi meningkatkan mutu daftar pemilih dan proses pilihan raya di negara ini. 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata selain jawatankuasa itu, agensi bebas dan bertauliah seperti Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) juga disaran membantu dalam proses semakan daftar pemilih. 

Laporan akhir jawatankuasa pilihan khas itu mengandungi 22 syor membabitkan lima isu utama iaitu perundangan dan pindaan peraturan, menambah baik proses pilihan raya, meningkatkan mutu daftar pemilih, memperkukuh kedudukan Suruhanjaya Pilihan Raya dan persempadanan, pembiayaan politik dan sistem alternatif diluluskan Dewan Rakyat tanpa dibahaskan semalam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment