My Add

Friday, 27 April 2012

Kementerian Pelajaran larang guru sertai Bersih

BATU PAHAT, JUMAAT, 27 April, 2012: Kementerian Pelajaran melarang guru dan guru pelatih menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka esok, dan mereka yang berdegil dengan larangan itu bakal berdepan tindakan tegas.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan fakta bahawa perhimpunan Bersih 3.0 dirancang untuk dijalankan di lokasi yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Penganjur Bersih 3.0 diberi pilihan untuk mengadakan perhimpunan di beberapa tempat lain seperti Stadium Merdeka atau Stadium Bukit Jalil, selepas hasrat awal mereka mengadakannya di Dataran Merdeka tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Jika penganjur terus berdegil mahu mengadakan perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka, maka kita menganggapnya sebagai satu aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang dan guru atau guru pelatih yang menyertainya boleh dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Fasa 6 dan Rayuan Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram membabitkan seramai 1,114 penerima di Dewan Jubli Intan di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment