TASEK GELUGOR, SABTU, 31 Mac, 2012: Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 40 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor melalui pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) menjelang 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, setakat ini terdapat hanya 28 peratus pekerja berkemahiran tinggi di negara ini dan jumlah itu tidak mencukupi dalam industri sedia ada sekarang.
Jelasnya, pekerja berkemahiran tinggi amat diperlukan terutama dalam sektor pembuatan, komputer, pelancongan dan logistik di negara ini.
"Oleh itu, kerajaan kini bertekad mengutamakan TEVT bagi menjadikannya sebagai pendidikan arus perdana negara dan bukannya pendidikan akademik yang sentiasa menjadi pilihan utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Pada masa sama, kerajaan menyasarkan untuk melatih kira-kira 166,650 orang daripada 500,000 lepasan SPM menjadi kumpulan yang mahir dalam bidang tertentu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Skills Malaysia Koridor Utara 2012 di Dewan Serbaguna Sungai Dua di sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment