SHAH ALAM, AHAD, 08 April, 2012: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mempersoalkan tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini dalam pelantikan kontraktor bagi melaksanakan projek di bawah Geran Selangorku yang didakwanya terdedah kepada unsur-unsur rasuah.
Sambil menyifatkan cara pelantikan kontraktor itu sebagai 'aneh' dan 'luar biasa', beliau berkata, unsur-unsur tersebut mungkin wujud apabila difahamkan pemberian peruntukan RM300 juta di bawah geran berkenaan diputuskan sepenuhnya oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.
"Saya mendapat butiran taklimat Khalid (Menteri Besar) kepada para Exconya yang jelas menunjukkan pemberian Geran RM300 juta ini bergantung sepenuhnya kepada keputusan Menteri Besar. Jika ia berdasarkan sebut harga terendah, mengapa pula kelulusan bergantung kepada Menteri Besar.
"Berdasarkan carta aliran pemberian Geran Selangorku berjumlah RM300 juta, Khalid berkuasa secara berseorangan untuk memutuskan siapa yang akan mendapat kontrak. Apakah ini bukan bentuk 'corruption' (rasuah) yang sangat luar biasa?
"Bukankah pentadbiran Selangor sekarang sering mendakwa merupakan sebuah kerajaan negeri yang telus dan terbuka. Justeru, mengapa dalam menentukan siapa yang akan mendapat kontrak-kontrak bernilai RM300 juta itu ditentukan oleh Menteri Besar secara bersendirian," katanya menerusi laman blognya, http://www.drkhir.com. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment