My Add

Sunday 1 April 2012

Najib ke Myanmar bukan sekadar perkukuh hubungan

NAYPYITAW, AHAD, 01 April, 2012: Tatkala Myanmar memberikan sambutan permaidani merah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada lawatannya ke sini baru-baru ini, ia mengharapkan lebih daripada sekadar memperkukuhkan lagi hubungan dua hala. 

Dan, Najib tidak mengecewakan hosnya, Presiden U Thein Sein.
"Saya berkunjung ke sini bukan untuk menyelesaikan masalah. Saya datang ke sini untuk mencari peluang-peluang yang bermanfaat kepada kedua-dua negara," katanya.

Sebagai membuktikan yang beliau benar-benar serius untuk tujuan itu, Najib membawa delegasi 100 ahli, lebih 50 daripada mereka adalah ahli perniagaan dalam pelbagai bidang seperti telekomuniksi, pembuatan, pembalakan, pertanian dan pembinaan. 

Najib menyifatkan lawatan dua hari beliau ke Myanmar yang sedang melakukan pelbagai pembaharuan, sebagai tepat pada masanya dan telah membuahkan hasil yang positif, dengan beberapa pendekatan telah dikenal pasti untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara dua sahabat dan telah membuka ruang kepada beberapa sektor baru. 

Najib berkata, beliau mendapati Thein Sein seorang yang "mesra, spontan dan berterus terang". 

Difahamkan pada mesyuarat delegasi, Thein Sein telah mengeluarkan senarai barangan dan menggesa Malaysia melabur lebih banyak di Myanmar dan menambah nilai industri-industri sedia ada. 

Presiden juga mempelawa Malaysia meningkatkan pelaburan dalam industri tambah nilai seperti getah dan sawit, hospitaliti, dan minyak dan gas, di samping menceburi sektor-sektor baru seperti telekomunikasi, farmaseutikal, pelancongan dan pembinaan. 

Untuk melancarkan proses pengukuhan hubungan dua hala, Malaysia dan Myanmar bersetuju menubuhkan suruhanjaya bersama, yang dijadual mengadakan mesyuarat pertama di Malaysia pada Jun. 

Malaysia dan Myanmar akan, antara lain, mengkaji kemungkinan mengendalikan sebahagian perdagangan dalam mata wang tempatan, berikutan sekatan yang dikenakan ke atas Myanmar. 

Prospek mewujudkan cawangan bank Myanmar di Malaysia dan sebuah cawangan bank Malaysia di Myanmar juga sedang dikaji. 

Malaysia juga akan mewujudkan pejabat di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada pertengahan tahun ini di Myanmar, menyifatkannya sebagai "destinasi panas pelaburan", untuk mempermudahkan perniagaan dan pelaburan Malaysia di negara ini. 

Najib dan Thein Sein juga menyentuh mengenai pembaharuan yang berlaku di Myanmar, dan Presiden Myanmar itu memberitahu Perdana Menteri Malaysia bahawa proses itu tidak mungkin dibalikkan semula kepada keadaan sebelum ini. 

"Saya berpendapat presiden amat komited dan perjalanan ini (pembaharuan) tidak akan diubah," kata Najib. 

Najib juga memberikan jaminan kepada Thein Sein bahawa Malaysia akan cuba menyakinkan negara-negara maju untuk menyemak semula sekatan yang dikenakan ke atas Myanmar. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment