*DUCATI Panigale 1199 berharga RM160,888. |
Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
PETALING JAYA, KHAMIS, 19 April, 201: Kumpulan Naza hari ini melancarkan pusat pameran motosikal Ducati terbesar di Asia yang terletak di Naza Automall di sini.
Pusat pameran berkeluasan 15,000 kaki persegi itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.
Pusat pameran komprehensif itu akan dilengkapi dengan pusat servis dan mekanik yang dilatih khas oleh Ducati, ruang santai pemilik motosikal Ducati, ruang pameran semua model jentera Ducati, pusat selepas jualan dan yang paling menarik, pusat penalaan suspensi Ducati.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin; Ketua Pengawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin, Duta Itali ke Malaysia, Mirko Bordiga dan Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pasifik, Mirko Bordiga.
Mengulas mengenai Ducati di Malaysia, SM Faisal berkata, Kumpulan Naza juga diberi pilihan untuk menjadi pengedar jenama itu di mana-mana negara yang belum mempunyai pengedar.
"Jadi ini merupakan peluang kami untuk mengembangkan sayap secara global melalui jenama Ducati dan kami juga sedang berbincang dengan jenama motosikal yang lain mengenai perkara yang sama.
"Malah kami juga sudah menerima persetujuan tertutup (NDA) daripada beberapa jenama motosikal ternama untuk memasang jentera mereka di Malaysia. Insya-Allah, bila tiba masanya kami akan umumkan," katanya.
Selain perasmian pusat pameran Ducati terbesar di Asia itu, Kumpulan Naza juga turut melancarkan motosikal Ducati 1199 Panigale.
Jentera dengan enjin dua silinder dan mempunyai kuasa kuda sehingga 195hp pada 164 kilogram ini akan dijual dengan harga dari RM160,888 hingga RM209,999. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment