My Add

Saturday 7 April 2012

Pembabitan wanita dalam sukan harus diberi galakan

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 April, 2012: Pembabitan kaum wanita dalam kegiatan sukan negara harus diberi galakan dan sokongan padu oleh semua pihak bagi memastikan mereka terus bergiat aktif. 

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan, Wasitah Mohd Yusof berkata pembabitan wanita dalam aktiviti sukan hari ini bergerak seiring dengan aliran perkembangan sukan negara. 

Beliau berkata kebanyakan golongan wanita yang terbabit dengan sukan adalah bercorak ke arah kecergasan dan riadah tetapi ada juga yang menyertai sukan berpotensi tinggi.

"Kita dapat lihat walaupun jumlah mereka agak kecil tetapi pembabitan mereka dalam sukan negara agak meluas seperti Fatehah Mustapa yang menyertai acara berbasikal negara," katanya kepada BERNAMA

Beliau berkata ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak perempuan mereka bergerak aktif dalam sukan selain dapat menjaga kesihatan. 

"Tidak ramai ibu bapa yang membenarkan anak perempuan mereka menyertai kegiatan sukan di sekolah dan saya berharap ibu bapa serta masyarakat dapat memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti sukan di peringkat sekolah ataupun institut pengajian tinggi," katanya. 

Wasitah berharap lebih banyak pertandingan membabitkan wanita dianjurkan supaya mereka dapat menyerlahkan bakat dalam bidang sukan. 

"Kita patut memperbanyakkan kejohanan berkaitan sukan wanita bagi mencungkil bakat mereka dan mengadakan karnival sukan wanita kerana daripada pertandingan tersebut kita dapat lihat mereka menonjolkan diri dalam penyertaan," katanya. 

Beliau sebelum itu menghadiri Karnival Sukan Wanita Kelima yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di sini, hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment