My Add

Friday, 27 April 2012

Pendidikan Cina bahagian penting pendidikan nasional: Najib

* PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbual mesra dengan (dari kiri) Menteri Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada majils perasmian SJK Thai Kwang di Sibu, hari ini. - Foto Azahan Rosli 

SIBU, JUMAAT, 27 April, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, pendidikan Cina akan terus menjadi bahagian penting dalam sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah meningkatkan peruntukan untuk sekolah Cina terutama sejak tiga tahun lalu dan bantuan yang diberikan adalah jauh lebih banyak berbanding sebelum ini.

"Dalam Belanjawan 2012 sebagai contoh, RM100 juta diperuntukkan untuk sekolah Cina di seluruh negara," katanya ketika merasmikan bangunan baru SJK(C) Thai Kwong yang dibina dengan kos RM12.5 juta, di sini.

Najib berkata, bagi komuniti itu, mereka sangat berbangga dengan budaya mereka yang berusia lebih 5,000 tahun.

"Bahasa Cina adalah bahagian penting budaya itu, selain nilai-nilai berkaitan budaya. Nilai seperti ketaatan kepada ibu bapa dan tanggapan untuk sentiasa memulangkan semula kepada masyarakat serta pelbagai lagi diajar di sekolah Cina," katanya.

Najib turut menegaskan jumlah peruntukan yang sama diberikan kepada Sekolah Tamil, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama di negara ini.

Beliau berkata, adalah menjadi polisi kerajaan untuk berlaku adil dan merangkumi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Di bawah konsep 1Malaysia kami mahu semua rakyat Malaysia berasa bahawa di negara ini dia akan menerima nikmat yang adil dan saksama daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus meletakkan pendidikan sebagai kepentingan utama untuk membangunkan sumber manusia yang sangat penting bagi negara.

"Kami bukan sekadar menyatakannya tetapi juga mampu melaksanakannya, perbuatan dan polisi. Tidak ada sektor lain yang menerima peruntukan sebanyak pendidikan sejak merdeka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment