My Add

Friday, 27 April 2012

Lawatan Najib ke Kelantan 4 Mei suntik semangat baru

MACHANG, JUMAAT, 27 april, 2012: Lawatan sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan pada 4 Mei ini, amat dinantikan oleh rakyat negeri ini kerana ia akan memberi motivasi baru untuk mereka lebih berjaya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata Perdana Menteri dijangka ke Gua Musang di sebelah pagi 4 Mei ini bagi merasmikan Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan, serta bertemu dengan rakyat di jajahan terbabit.

"Bukan sahaja penduduk Gua Musang sedang menunggu kedatangan Perdana Menteri tetapi juga penduduk seluruh negeri Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,500 penerima di kawasan Parlimen Machang, di sini hari ini.

Mustapa berkata Perdana Menteri kemudian akan merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong, Kota Baharu iaitu sebuah pusat yang memberi pelbagai kemudahan kepada peladang, penternak, nelayan, peniaga dan orang ramai. 

Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri sudah tentu akan menyuntik semangat baru kepada lebih 400 usahawan kecil yang berniaga di situ yang kini merekodkan jualan kira-kira RM700,000 sehari. 

"Pembukaan RTC ini adalah program penting untuk kita transformasikan kawasan luar bandar. Ia menjadi kebanggaan kepada kerajaan pusat di Kelantan kerana dapat membantu usahawan kecil," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment