My Add

Monday 23 April 2012

Perbicaraan kes Kong Choy menipu ditangguh 21 Mei

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 April, 2012: Perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy yang didakwa menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang ditangguhkan bagi membolehkan pendakwaan mengkaji surat representasi pihak pembelaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahim menetapkan 21 Mei ini untuk perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pejabat Peguam Negara memerlukan masa untuk membuat keputusan terperinci dengan seadil-adilnya mengenai permohonan Kong Choy.

"Kami sedang meneliti secara terperinci banyak perkara dibangkitkan dalam surat representasi tersebut yang perlu kami semak semula fakta yang disebutkan dan dokumen yang diperlukan untuk mengesahkan fakta berkenaan termasuk tarikh pertuduhan dari 2004 sehingga 2006," katanya.

Hakim Zamani juga menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan pihak pembelaan agar beliau mengundur diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.

Pada prosiding hari ini, Nordin memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan sepertimana diperuntukkan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

Kong Choy, yang diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, hadir di mahkamah bagi mendengar perbicaraan kesnya.

Pada 29 Mac lalu, pihak pembelaan memfailkan satu notis usul bersama afidavit sokongan Kong Choy, di mana Kong Choy telah menyatakan bahawa pada lazimnya kes berkenaan sepatutnya didengar seorang daripada tiga hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Oleh itu, beliau mendakwa mahkamah tidak mengikut prosedur kerana Hakim Zamani yang bertugas di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah dipertanggungjawabkan untuk mendengar perbicaraan, memberi gambaran kepada orang awam seolah-olah pihak berkuasa telah memilih hakim.

Kong Choy juga mendakwa tiada alasan kenapa Hakim Zamani dipilih khas untuk kes berkenaan dan lagipun ia melibatkan soal logistik untuk hakim berkenaan yang perlu berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Kong Choy menghadapi tiga tuduhan menipu bekas Perdana Menteri dengan memperdayakan Abdullah bagi meluluskan Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk menjalankan pembangunan projek hab penghantaran di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.

Beliau, 56, didakwa dengan curangnya menyembunyikan fakta pembiayaan kos pembangunan akan dibiayai melalui bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Berhad dengan sokongannya sebagai menteri pengangkutan.

Bekas menteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Kong Choy boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan .- BERNAMA

No comments:

Post a Comment