My Add

Wednesday, 4 April 2012

Polis selesai kes tembak di Rantau Panjang, 7 ditahan

KOTA BHARU, RABU, 04 April, 2012: Polis menahan tiga beradik serta empat yang lain berhubung kejadian tembak yang menyebabkan kematian seorang pemuda di Rantau Panjang, Pasir Mas semalam. 

Bagaimanapun, dua suspek utama rakyat negara jiran yang dipercayai melakukan tembakan itu masih diburu. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata tiga beradik itu yang mempunyai pertalian keluarga terdekat dengan mangsa, ditahan dalam serbuan berbeza lokasi antara jam 3 petang dan tengah malam tadi. 

"Susulan daripada kejadian itu, Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan dan Pasir Mas sudah menangkap enam lelaki dan seorang perempuan berumur antara 22 hingga 40 tahun dan mereka semua adalah rakyat tempatan yang tinggal di Rantau Panjang, Pasir Mas. 

"Kita juga masih mengesan dua lagi suspek utama rakyat negara jiran yang dipercayai melakukan tembakan itu mengikut saksi-saksi yang kita sudah tangkap," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini. 

Dalam kejadian itu, mangsa Mohamad Nazuri Mohd Zain, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Lemal, mati manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki di Rantau Panjang pada 11.15 pagi. 

Jalaluddin berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca dari rasa tidak puas hati dalam soal perniagaan keluarga.

"Perniagaan ini membabitkan pekerja asing di antara dalam negeri dengan negara jiran. Mungkin nak permudahkan pekerja asing keluar masuk daripada Malaysia ke negara jiran sama ada melalui laluan sah atau tidak. Kita akan siasat latar belakang keluarga ini. 

"Sehubungan itu juga, kita mengklasifikasikan kes ini sebagai sudah selesai dan tidak ada kena-mengena dengan tujuh kes tembakan yang berlaku sebelum ini," katanya. 

Jalaluddin berkata, pihaknya turut merampas sebilah parang, satu botol dipercayai mengandungi dadah, alat renjatan elektrik dan telefon bimbit. 

Polis percaya satu daripada telefon bimbit berkenaan digunakan untuk berkomunikasi bagi mengeluarkan arahan berhubung kejadian tersebut. 

Semua mereka ditahan reman bermula hari ini sehingga 10 April dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment