KUALA TERENGGANU, RABU, 04 April: Gara-gara mengugut isteri dengan menyimbah minyak diesel di dalam rumah, seorang buruh hari ini dihukum penjara sehari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi memerintahkan Zainal Abidin Endut, 48, menjalani hukuman dari tarikh jatuh hukuman dan akan dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda mahkamah.
Zainal Abidin mengaku mengugut isterinya, Nor Halida Mohd Ladzim, 46, pada jam 5.30 petang, 22 Mac di rumah beralamat 256, Taman Perumahan Alor Jambu, Wakaf Tengah di sini dengan mengamuk dan menyimbah minyak diesel di dalam rumah berkenaan dengan niat menyebabkan mangsa berasa cemas.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mendatangkan kecederaan terhadap sesiapa dan ia berpunca daripada kemarahan si suami terhadap pasangannya, yang juga pengadu, sebelum Zainal Abidin ditahan polis, Ahad lalu.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor V Ravi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 (Menakutkan Secara Jenayah), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa merayu hukuman ringan, Zainal Abidin yang diwakili peguam, Mohd Zamri Md Jail berkata, ketika kejadian anak guamnya dalam keadaan tertekan dan mengaku insaf dengan perbuatannya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment