My Add

Saturday 21 April 2012

UFL sasar pendapatan RM1 juta daripada produk baru

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah mendengar penerangan Jelte Tempelaars (dua dari kanan) selepas melancarkan ‘Power Plate My7’ sambil diperhatikan oleh Radha Krishnan (dua dari kiri) di sini semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 21 April, 2012: Pengimport kelengkapan kecergasan dan luaran tempatan, Universal Fitness and Leisure Sdn. Bhd. (UFL), yakin dapat meraih pendapatan daripada jualan berjumlah RM1 juta tahun ini hasil daripada produk yang baru dilancarkannya, Power Plate My7.

Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krishnan berkata, ini berdasarkan kempen pemasaran besar-besaran yang dijalankan oleh syarikat sejak tiga bulan lalu.

"Kami telah membelanjakan kira-kira RM50,000 bagi kempen pengiklanan melalui pelbagai saluran seperti majalah, akhbar dan beberapa siri jelajah.

"Jadi, kami agak yakin kami boleh mencapai sasaran jualan ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi produk itu bagi rantau Asia Pasifik oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini semalam.

Pelancaran produk itu di peringkat dunia telah diadakan semasa pameran perdagangan terkemuka bagi kecergasan, kesejahteraan dan kesihatan, FIBO, di Jerman April lepas.

"Setakat ini, kami telah menjual kira-kira 10 unit produk itu kepada pengguna sasaran kami seperti akademi golf dan individu, awal tahun ini. Kami menyasarkan untuk menjual 30 unit lagi tahun ini,” katanya.

UFL adalah pengedar tunggal produk ini di Malaysia. Ia dikeluarkan oleh syarikat Power Plate International yang berpangkalan di United Kingdom.

Produk yang berharga dari RM39,000 itu boleh didapati di semua kedai UFL di seluruh negara mulai hari ini. Antara ciri-cirinya ialah Sistem Pemantauan Berkembar `DualSync” yang mengeluarkan getaran seragam bagi tindak balas otot yang maksimum. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment