My Add

Sunday, 1 April 2012

'Usah buat perkara sentuh sensitiviti kaum, agama'

NAJIB sambil diperhatikan Ismail bersalaman dengan warga FELDA pada Majlis Pemimpin Bersama Warga FELDA di FELDA Triang 3, Bera, semalam.

BERA, SABTU, 31 Mac, 2012: Datuk Seri Najib Razak mahu semua pihak tidak melakukan apa juga perkara yang dilihat boleh menyentuh sensitiviti kaum dan agama di negara ini. 

Perdana Menteri berkata, langkah itu satu prinsip perlu dipatuhi dan dihormati semua pihak.

“Apa pun, kita tidak hendak (perkara sentuh sensitiviti kaum dan agama) jadi punca salah faham antara penganut pelbagai agama di negara kita,” katanya selepas menghadiri majlis Bersama Peneroka Gugusan Bera di FELDA Triang 3, dekat sini, hari ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas gesaan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) dalam sebuah portal berita yang merayu Perdana Menteri supaya tidak membenarkan mana-mana pihak menganjurkan seminar yang boleh mengancam penyebaran agama lain di Malaysia. 

Jabatan Pelajaran Johor semalam dilaporkan mengadakan seminar berkaitan pengajian Islam kepada guru dengan memfokuskan kepada isu penyebaran agama Kristian di kalangan orang Islam. 

Perdana Menteri berkata: “Kita boleh bincang berkenaan soal akidah, tapi tidak boleh tidak sensitif pada pihak lain, sama ada orang Islam kepada bukan Islam, atau orang bukan Islam kepada Islam.” 

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara menyentuh sensitiviti kaum dan agama boleh diselewengkan atau dijadikan isu politik oleh pihak tertentu. 
“Maklum sajalah dekat pilihan raya, semua perkara boleh diseleweng atau dipusingkan menjadi isu politik, sebab itulah kena berhati-hati dalam perkara ini,” katanya. - BERITA MINGGU

No comments:

Post a Comment