My Add

Sunday 1 April 2012

PTPTN diberi dana tambahan RM6 bilion

MUHYIDDIN beramah mesra dengan seorang pengunjung Karnival Pengajian Tinggi Negara 2012, Mohd Hanifudin Ramli, sambil diperhatikan Mohamed Khaled, Saifuddin, serta Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Nor (kanan) di PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR, 31 Mac, 2012: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM6 bilion kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh dua tahun, mulai tahun ini bagi membiayai pengajian pelajar institut pengajian tinggi (IPT). 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata permohonan penambahan dana yang dikemukakan kementeriannya itu diluluskan dalam mesyuarat Kabinet, kelmarin.

“Dana bagi 2012 dan 2013 itu diluluskan kerajaan selepas melihat kepentingan dan relevan PTPTN dalam membiayai pengajian pelajar IPT.

“Sehingga 29 Februari lalu, 1.9 juta peminjam menerima pembiayaan PTPTN membabitkan pembayaran RM43.6 bilion,” katanya berucap pada majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. 

Majlis perasmian penutup karnival itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Terdahulu, Khaled berkata, bagi sesi akademik 2012/2013, bilangan tempat yang akan ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dijangka meningkat 8.8 peratus kepada 202,339 tempat berbanding 185,966 pada sesi akademik lalu. 

Katanya, peningkatan itu merangkumi pertambahan 11 peratus tempat peringkat ijazah iaitu daripada 51,805 kepada 57,492 tempat, manakala kemasukan peringkat diploma, sijil pengajian teknikal dan latihan vokasional (TEVT)-Politeknik serta meningkat 25 peratus daripada 78,780 kepada 99,034. 

Beliau berkata, pertambahan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam merealisasikan hasrat mengarusperdanakan pengajian TEVT, terutama bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi. 

“Mulai tahun ini juga, empat universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diberi autonomi dalam pengurusan kemasukan pelajar peringkat Ijazah Pertama,” katanya. 

Mengenai karnival pula, Khaled berkata, ia berjaya menarik lebih 460,000 pengunjung sepanjang penjelajahannya di seluruh negara. - BERITA MINGGU

No comments:

Post a Comment