My Add

Thursday 2 August 2012

9 ditahan berhubung kes kehilangan cip RM2.6 juta

GEORGETOWN, RABU, 01 Ogos, 2012: Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan 33 set papan litar elektronik yang mengandungi cip berharga RM2.6 juta di sebuah syarikat multinasional di Seberang Perai, 4 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata semua lelaki berusia 32 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam pada 15 Julai.

"Bagaimanapun, polis hanya menemui dua set papan litar setelah menggeledah rumah salah seorang suspek terbabit dan gagal mengesan baki papan litar yang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata, lapan daripada mereka ialah pekerja di syarikat berkenaan dan kesemua lelaki rakyat tempatan terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis percaya barangan curi itu telah dibawa keluar dari negeri ini untuk diedar di pasaran gelap dan dijual dengan harga tinggi," katanya.

Abdul Rahim berkata tiga daripada suspek masih ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Enam lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kami masih meneruskan siasatan bagi mengesan pembeli barangan curi itu," katanya. 
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan papan litar itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment