My Add

Thursday 23 August 2012

Beraya di rumah 'terbengkalai'

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Ogos, 2012: Lebih 36 keluarga yang menghuni dewan, surau dan taska di Pangsapuri Seri Mutiara, Ukay Perdana dekat sini mengambil tindakan nekad dengan berpindah masuk ke rumah masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih meriah dan selesa.

Mereka sepakat masuk ke rumah itu selepas tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak atasan, sama ada di peringkat kerajaan negeri atau Pusat untuk membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka sekian lama.

Pengerusi persatuan penduduk pangsapuri itu, Mohd. Shah Akbar Shah berkata, mereka memasuki rumah masing-masing pada malam hari raya pertama.

"Bagaimanapun masih ada empat keluarga yang tinggal di dewan kerana bimbang dihalau oleh pihak bank.

"Yang sudah berpindah masuk ke rumah juga ketika ini berasa tidak tenteram kerana bila-bila masa sahaja pihak bank akan datang untuk menghalau kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan kesemua keluarga itu mengambil tindakan drastik dengan tinggal di dewan dan surau pangsapuri berkenaan sejak Mei setelah tidak mampu menanggung hutang sewa rumah sementara. Ini kerana syarikat pemaju, Talam Corporation Sdn. Bhd. gagal menunaikan janji untuk menanggung sewa rumah sementara.

"Kami berharap pihak atasan, Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Besar Selangor tolong beri perhatian kepada masalah kami. Kami sudah tiada tempat untuk mengadu.

"Kami amat mengharapkan penyelesaian secepat mungkin," katanya.

Katanya, penduduk membuat persiapan menyambut hari raya secara ala kadar dan dalam keadaan daif.

"Sepatutnya penduduk memikirkan persiapan menyambut hari raya tetapi dengan masalah yang berlarutan sejak sekian lama ini, kami sudah tidak terfikir mengenai semua itu," katanya.

Bekas penduduk setinggan Kampung Perak itu pada mulanya ditawarkan rumah baru dalam masa 36 bulan selepas kerja pembangunan mula dijalankan hampir sembilan tahun lalu.

Namun, ekoran beberapa masalah, rumah yang sudah siap itu tidak dapat diduduki. Keadaan bertambah rumit buat penghuni terbabit apabila pihak pemaju berhenti membayar sewa rumah sementara di Pangsapuri Seri Nilam sejak 2007.

Menurut Mohd. Shah, pada Aidilfitri ini, kesemua penghuni yang tinggal di pangsapuri itu menunaikan solat hari raya di surau yang hanya dapat menampung kira-kira 80 jemaah sahaja walaupun jumlah penduduk di situ melebihi 100 orang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment