My Add

Thursday, 2 August 2012

Chong Wei mengaum baham Simon

*LEE Chong Wei membalas hantaran pemain Indonesia, Simon Santoso pada pusingan kedua acara badminton Sukan Olimpik di Arena Wembley, London semalam.

LONDON, RABU, 01 Ogos, 2012: Sebarang kebimbangan berhubung kecergasan Datuk Lee Chong Wei lenyap sepenuhnya apabila pemain No.2 dunia itu mempamerkan belang sebenar apabila mudah menyingkirkan Simon Santoso 21-13, 21-8, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir acara perseorangan lelaki di Arena Wembley, semalam.

Semasa peringkat kumpulan kelmarin, Chong Wei dipaksa lawan kurang ternama, Ville Lang bertarung sehingga tiga set sebelum mampu menjinakkan pemain Finland itu.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap sejauh manakah Chong Wei sudah pulih daripada kecederaan buku lalinya dan apakah dia masih bergelut untuk cergas seratus peratus.

Namun aksi garang dan menyakinkan prospek pingat emas Malaysia itu, yang mengambil hanya 34 minit untuk menumpaskan pemain No.1 Indonesia berkenaan, pastinya melegakan kita semua.

Mengulas kemenangan semalam, Chong Wei berkata: "Saya sendiri terkejut dengan prestasi saya kerana dapat beraksi dengan baik. Saya langsung tidak menjangkakan dapat beraksi begini baik kerana masih memikirkan perlawanan pertama."

Chong Wei dijangka tiada masalah mengetepikan pemain No.21 dunia dari India, P. Kashyap, iaitu lawannya pada suku akhir hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment