My Add

Sunday 26 August 2012

DAP, Pas terus bertelagah isu hudud

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Ogos, 2012: Ketidakupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menamatkan pertelingkahan DAP dan Pas dalam isu hudud memberi gambaran jelas Ketua Pembangkang itu tidak dihormati di dalam pakatan pembangkang.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, sekiranya Anwar memang pemimpin yang hebat, sudah pasti isu itu dapat ditamatkan segera.

"Anwar sebenarnya tidak ubah seperti 'parasit' di dalam pakatan pembangkang yang hanya menjadi penumpang agar cita-citanya untuk bergelar Perdana Menteri tercapai.

"Justeru, saya yakin Anwar sendiri terpaksa tunduk dengan DAP dalam isu pelaksanaan hudud kerana bimbang hilang sokongan pengundi Cina sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 dan seterusnya akan menamatkan mimpinya bergelar Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan beberapa penganalisis politik mengenai kegagalan Anwar meyakinkan DAP untuk menyokong hudud menyebabkan Pas terkontang-kanting dan bersendirian dalam perjuangannya itu.

Muhammad Zahid yang juga Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) mendakwa, Pas sendiri sudah tidak berminat untuk melaksanakan hudud tetapi terpaksa 'berlakon' bagi menunjukkan kononnya mereka masih kekal dengan perjuangan asal.

"Lihat di Kelantan, Pas sudah memerintah lebih 20 tahun kenapa masih belum laksanakan hudud?

"Jika benar mahu melaksanakannya, sudah tentu DAP akan keluar daripada pakatan pembangkang kerana parti itu secara terbuka menolak pelaksanaan hudud," ujarnya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nordin Ahmad pula dengan sinis menyifatkan Anwar dan isu hudud bagaikan 'bumi dan langit'.

"Anwar sendiri seorang yang mempunyai rekod akhlak yang buruk mana mungkin dia mahu hukum hudud dilaksanakan di negara ini.

"Semua ini permainan politik kotor pembangkang sehingga pelaksanaan hudud menjadi bahan jenaka DAP yang secara terbuka menolak hukum Allah itu," katanya.

Tambah beliau, umat Islam sepatutnya melihat kemelut tersebut sebagai bukti jelas Pas dan Anwar tidak layak menjadi pemimpin kerana sanggup mempermainkan agama Allah semata-mata untuk mengejar kuasa dan jawatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment