My Add

Thursday 23 August 2012

Dr. M: Jangan tertipu janji pakatan pembangkang

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Ogos, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa rakyat terutama para pengundi supaya tidak tertipu dengan pakatan pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ghairah menabur janji menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, sikap pembangkang menabur janji menukar Malaysia menjadi negara kebajikan merangkumi aspek seperti pemansuhan yuran pendidikan, tol serta penyediaan subsidi tinggi bagi petrol hanyalah sebahagian daripada rayuan mereka untuk menggantikan Barisan Nasional (BN).

Jika perkara sebegitu dilaksanakan, katanya, negara akan menghadapi kesukaran kewangan dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan seperti persekolahan serta pencen kepada rakyat seperti kegagalan yang dilalui oleh negara Sosialis dan Komunis satu masa dahulu.

Justeru katanya, sikap pembangkang menabur janji bagi menghadapi pilihan raya adalah berbeza dengan usaha melaksanakannya, sebaliknya itu hanya rayuan bagi membolehkan mereka menggantikan Barisan Nasional (BN) nanti.

"Harapan terbaik (pembangkang) ialah keupayaan memori rakyat pendek, mereka kebiasaannya lupa kepada janji-janji," katanya dalam entri blog beliau bertajukPerubahan hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir, membidas Anwar kerana menggunakan penyelesaian disediakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menghadapi Krisis Kewangan Asia 1997-1998 sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

Akibat model IMF tersebut, katanya, bank dan syarikat tempatan menghadapi ancaman bankrap akibat pinjaman tidak berbayar di samping masalah kos import serta kos sara hidup rakyat semakin melonjak.

Katanya, rekod Anwar sebagai Menteri Kewangan adalah buruk namun gemar mendakwa kejayaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dilaksanakan oleh individu lain sebagai usaha beliau.

Kini sebagai pemimpin pembangkang, katanya, Anwar mendakwa akan melakukan pelbagai perubahan tetapi gagal melaksanakannya sewaktu berada di dalam kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment