My Add

Monday 27 August 2012

Dua projek marina terbiar di Pulau Mentagor dikaji semula

LUMUT, AHAD, 26 Ogos, 2012: Kementerian Pengangkutan sedang melakukan kajian semula terhadap projek marina bernilai RM28 juta di Pulau Mentagor dan Projek Jeti Awam Penumpang Sungai Pinang Kechil di Pulau Pangkor dekat sini yang terbiar dan tidak digunakan sejak 10 tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, beliau telah mengarahkan pihak-pihak terlibat termasuk Jabatan Laut dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk meninjau dan melakukan kajian terhadap kedua-dua projek itu bagi memastikan ia dapat beroperasi secepat mungkin untuk manfaat penduduk.

Jelas beliau, ketika ini pihak-pihak berkenaan sedang berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung kegunaan kedua-dua projek itu dan mereka yang berhak mengendalikannya.

"Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Laut meninjau ke kawasan jeti di Sungai Pinang Kecil untuk mengkaji langkah sesuai yang perlu diambil sama ada ia boleh digunakan khusus untuk nelayan seperti penjualan minyak, pendaratan ikan atau untuk pejabat sahaja.

"Ketika ini pegawai dari kementerian sedang berbincang dengan pegawai Kementerian Pertanian untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Begitu juga projek marina di Pulau Mentagor. Pada mulanya UKAS mahu menyewakan marina itu kepada pengusaha yang berminat, namun apabila timbul masalah berkaitan status tanah pihak terlibat terpaksa membuat kajian semula sama ada menyewakan marina tersebut atau menawarkan terus kepada pihak yang berminat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung di Arena Square Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini hari ini.

Terdahulu, Zambry dalam sidang akhbar sama meminta Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan dua masalah besar itu yang telah berlanjutan lebih 10 tahun.

Katanya, adalah amat malang kemudahan yang terdapat di Jeti Sungai Pinang Kecil dan marina di Pulau Mentagor itu terus dibiarkan tanpa dapat dimanfaat meskipun pembangunannya telah siap sepenuhnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment