My Add

Monday 27 August 2012

Morsi berminat lawat Malaysia

PEKAN, AHAD, 26 Ogos, 2012: Kemampuan kerajaan membangunkan negara terus mendapat pengiktirafan tertinggi pemimpin Islam sehingga Presiden Mesir yang baru, Mohammed Morsi menyifatkan jika ada negara Islam yang boleh dijadikan model adalah tidak lain Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berikutan itu Morsi telah menyatakan minat yang mendalam kepadanya untuk melawat negara ini.

"Apabila saya hadir Sidang Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah pada minggu terakhir Ramadan lalu, saya dapati imej Malaysia di kalangan negara Islam begitu tinggi sekali.

"Kita diberi penghormatan oleh negara Islam dan ini menunjukkan apa yang kita perjuangkan di bawah kerajaan hari ini dapat sanjungan tinggi dari kalangan negara Islam.

"Malah Presiden Mesir yang baru, Morsi begitu berminat sekali melawat Malaysia dan beliau mengatakan jika ada satu-satu negara yang boleh dijadikan contoh dan model, tidak lain dan tidak bukan ialah negara Malaysia," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan Najib berkata, salah satu faktor kejayaan Malaysia adalah kerana wujudnya kesinambungan dengan apa yang diperjuangkan pemimpin terdahulu.

Katanya, kepimpinan negara tidak meruntuhkan apa yang diusahakan para pemimpin sebelumnya, tetapi membinanya atas kejayaan sebelum ini.

"Saya baca kenyataan dua bekas Perdana Menteri pada pagi ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kedua-duanya memberi sokongan kepada kepimpinan saya sebagai Perdana Menteri.

"Sokongan itu adalah kerana mereka tahu apa yang saya lakukan adalah kesinambungan atas apa yang telah pemimpin terdahulu perjuangkan," jelasnya.

Tambahnya, inilah landasan kepada kejayaan Malaysia di abad ke-21 yang akan menyaksikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang benar-benar berjaya.

"Namun kesinambungan bukan bermakna kita kekal dengan satu keadaan, tetapi kita melakukan perubahan dan penambahbaikan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment