PUTRAJAYA, SELASA, 31 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan lebih RM32.7 bilion sejak 2007 sehingga akhir Jun tahun ini, di mana RM12 bilion telah dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama 2012.
Perdana Menteri berkata, antara Januari dan Jun tahun ini, kelompok pelancongan ECER telah menarik jumlah pelaburan tertinggi iaitu kira-kira 55 peratus, diikuti oleh kelompok pembuatan (31 peratus), kelompok pertanian (8.0 peratus), kelompok pendidikan (5.0 peratus) dan sektor perkhidmatan (hampir 1.0 peratus).
"Kesemua projek ini dijangka dilaksanakan pada tahun ini," katanya di dalam dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kedua Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) tahun ini di sini hari ini.
"Daripada jumlah pelaburan RM32.7 bilion yang telah berjaya ditarik masuk ke ECER sejak 2007, kira-kira RM21.9 bilion telah pun diterima dan mewujudkan hampir 30,000 peluang pekerjaan di samping menyumbang RM7 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK)," Najib. Beliau juga Pengerusi ECERDC.
Katanya lonjakan dalam pelaburan tersebut disokong oleh peningkatan infrastruktur yang dilaksanakan secara progresif di ECER serta usaha-usaha promosi pelaburan yang giat dijalankan oleh ECERDC dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata ECER kini berada pada kedudukan yang kukuh dan berupaya menarik kedatangan para pelabur yang berkualiti dari pelbagai jenis industri, termasuklah para pengiat industri bertaraf dunia dari sektor bioteknologi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment