My Add

Wednesday, 1 August 2012

IPU tidak sihat dicatat di Pelabuhan Klang setakat 11 pagi

*GEORGETOWN, Pulau Pinang turut dilanda jerebu dipercayai ekoran pembakaran terbuka tidak terkawal di Sumatera, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Pelabuhan Klang merupakan satu-satunya kawasan yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga 11 pagi ini dengan bacaan 116.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan di sini hari ini berkata, sebanyak 14 kawasan mencatatkan IPU baik manakala 36 kawasan lagi mencatatkan IPU sederhana.

Menurutnya, antara kawasan mencatat IPU tertinggi adalah Seberang Jaya 2, Pulau Pinang (83); Alor Setar, Kedah (78); Banting, Selangor (77); Bukit Rambai, Melaka (76); Cheras, Kuala Lumpur (73); Nilai, Negeri Sembilan (70) dan Seri Manjung, Perak (73).

"Imej satelit yang dikeluarkan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) pada 30 Julai lepas menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia adalah hanya 22 berbanding 122 titik panas pada 29 Julai lepas.

"Pengaruh angin monsun barat daya yang bertiup dari kawasan titik panas berkenaan dan kawasan berlakunya pembakaran terbuka yang tidak terkawal di Sumatera, Indonesia telah mengakibatkan jerebu merentasi sempadan," katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kemerosotan kualiti udara di pantai barat Semenanjung Malaysia khususnya di Pelabuhan Klang.

Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia tambahnya, keadaan panas dan kering di rantau ini akan berpanjangan hingga Oktober ini.

"Sehubungan itu, JAS telah menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri bagi mempertingkat pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) dalam usaha memantau status kualiti udara di seluruh negara.

"JAS turut mengingatkan orang ramai berhubung Perintah Larangan Pembakaran Terbuka bagi kawasan di Selangor; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Tudan; Permai Jaya; Kuala Baram di Miri, Sarawak masih berkuat kuasa," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian 1-800-88-2727. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment