My Add

Wednesday 1 August 2012

FDI berkualiti, berteknologi fokus utama negara

*MUHYIDIN Yassin bersama Mustapa Mohamed, Pengerusi Kiswire Ltd., Hong Young Chul (dua dari kanan), Duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Young Joon (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kiswire Malaysia Park Chang Hee (kiri) ketika merasmikan Kota Kiswire di Jalan Senyum, Johor Bahru, semalam. - BERNAMA

JOHOR BAHRU, SELASA 31 Julai 2012: Malaysia kini lebih selektif dalam membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti khususnya melibatkan teknologi tinggi, teknologi hijau dan tenaga alternatif dan pengetahuan industri intensif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, teknologi sedemikian diperlukan dalam usaha merealisasikan anjakan daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.

"Dalam mencari kemasukan pelabur asing, kita tidak mahu FDI yang sembarangan, tetapi FDI yang berkualiti.

"Justeru, kerajaan giat mempromosi dan membangunkan sumber baru kemajuan ekonomi. Tumpuan kini diberikan kepada nilai tambah yang tinggi dan industri dengan kapital yang intensif," katanya.

Beliau berucap merasmikan pembukaan KOTA Kiswire milik Kiswire Malaysia iaitu anak syarikat Kiswire Limited, pengeluar wayar keluli utama dari Korea Selatan.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Republik Korea Selatan, Lee Yong-joon; Pengerusi Kiswire Limited, Hong Young-chul dan Ketua Pegawai Eksekutif Kiswire Malaysia, Park Chang-hee.

Menurut Muhyiddin, Korea Selatan merupakan rakan dagang utama negara dengan pelaburan dan ekonomi sebagai paksi utama hubungan perdagangan dua hala.

Katanya, tahun lalu sahaja negara itu muncul pelabur asing kedua terbesar iaitu dengan nilai sebanyak AS$1.6 bilion (RM5 bilion) menjadikan jumlah pelaburan terkumpul kepada AS$3.6 bilion (RM11.25 bilion).

"Sehingga kini, terdapat lebih 300 syarikat Korea Selatan dalam sektor pembuatan dengan pelaburan di negara ini dengan nilai pelaburan AS$5 bilion (RM15.6 bilion). Kami berharap lebih ramai pelabur dari Korea akan menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Kami juga mempelawa syarikat automotif Korea Selatan menubuhkan pejabat di Malaysia dan merebut kelebihan akses pasaran yang kami tawarkan di negara dan rantau ini melalui ASEAN," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment