My Add

Monday 27 August 2012

Gerakan boleh tanding di mana sahaja - Soi Lek

IPOH, AHAD, 26 Ogos, 2012: Parti Gerakan boleh bertanding di mana sahaja termasuk di kerusi tradisi MCA di Parlimen Gopeng dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 jika parti itu yakin boleh menang, kata Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Beliau berkata, MCA tidak mempunyai masalah sekiranya Gerakan yakin boleh menang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut bersetuju.

“Kalau Gerakan fikir boleh menang di Gopeng, tidak perlu tukar kerusi, mereka boleh ambil. Senang saja cara MCA.

“Kalau dia (Gerakan) boleh menang, ambillah tetapi jangan selepas itu dia cakap MCA perlu kerja mati-matian untuk dia. Janganlah, itu tidak patut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan para peniaga di Pasar Awam Gunung Rapat, di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Gerakan Bahagian Gopeng, Dr. Lee Chee Peng menyatakan Gerakan mempunyai calon boleh menang yang diterima pengundi di Parlimen Gopeng dan DUN Malim Nawar.

Kenyataan itu adalah reaksi terhadap laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 14 Ogos lalu bahawa MCA akan bertanding di Parlimen Puchong iaitu kerusi yang ditandingi Gerakan sejak dua pilihan raya umum lepas.

Soi Lek bagaimanapun berkata, MCA tidak bersetuju sekiranya Gerakan menuntut kerusi-kerusi berkenaan hanya kerana syok sendiri, bukannya berasaskan kekuatan parti kerana ia tidak adil kepada BN.

Katanya, sebagai contoh, bilangan ahli Gerakan di Gopeng kurang daripada 2,000 orang dan mereka juga tidak kelihatan di lebih 10 majlis yang dihadiri beliau di Gopeng sejak dua tahun lalu.

“Saya perhatikan ahli UMNO, MIC dan PPP pun hadir tetapi yang ketara saya tak nampak ialah Gerakan. Adakah dia aktif atau sekadar menuntut untuk syok sendiri.

“Mungkin dia tidak suka dengan saya atau mungkin dia ramai sangat bersembunyi di sini dan sana. Jadi, macam mana hendak bertanding, pakailah logik," katanya.

Menurut Soi Lek, terdapat lima kriteria asas yang perlu dipenuhi oleh sesuatu parti bagi menentukan calon itu boleh menang di kawasan yang ditandingi.

Katanya, lima kriteria tersebut ialah bahagian itu perlu aktif, mempunyai ramai ahli, jentera pilihan raya sudah bersedia dan bergerak, ahlinya bersatu padu serta komited menyokong dan bertungkus lumus memenangkan calon BN.

Terdahulu, Soi Lek mengumumkan MCA berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memperbaiki dan menaik taraf Pasar Awam Gunung Rapat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment