My Add

Sunday 5 August 2012

Hak pendidikan, kesihatan Rohingya disekat


*SEORANG kanak-kanak perempuan Rohingya Islam bersama ibunya, merenung nasib mereka di sebuah kem pelarian tidak berdaftar di Bangladesh. - Agensi

WASHINGTON, SABTU, 04 Ogos, 2012: Perlembagaan, undang-undang serta polisi Myanmar, menghalang kebebasan beragama, sementara etnik Rohingya Islam menghadapi bentuk diskriminasi ‘paling teruk’ selepas mereka dihadkan daripada menerima pendidikan serta bantuan kesihatan.

Perkara itu didedahkan dalam Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa 2011 Amerika Syarikat (AS) mengenai kebebasan beragama yang diterbitkan minggu ini.

Menurut laporan tersebut, bukan sahaja penganut Islam di seluruh Myanmar, etnik Cina dan India di negara itu juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa majlis bandar raya untuk meninggalkan kampung halaman mereka.

Ia menyatakan, pihak berkuasa Myanmar juga sering menolak permohonan etnik Rohingya serta etnik beragama Islam lain di negeri Rakhine yang mahu melakukan perjalanan atas semua alasan.

“Bagaimanapun, adakalanya kebenaran tersebut diberikan, tetapi hanya selepas melibatkan rasuah,’’ kata laporan oleh Jabatan Negara AS itu.

Menurut laporan itu, penganut Islam di Rakhine terutamanya etnik Rohingya terus menghadapi diskriminasi ekonomi, perundangan, pendidikan dan sosial paling teruk.

Ia berkata, terdapat laporan menyatakan doktor Buddha enggan memberikan sokongan kepada penganut Islam yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan untuk membenarkan mereka keluar dari Rakhine bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tanpa status kewarganegaraan, etnik Rohingya juga tidak mempunyai akses kepada pendidikan sekolah menengah di sekolah diselia kerajaan.

Pelajar Islam dari Rakhine yang menamatkan sekolah tinggi turut tidak dibenarkan keluar dari negeri itu untuk melanjutkan pelajaran di kolej atau universiti. - Agensi

No comments:

Post a Comment