My Add

Thursday 9 August 2012

Ikhlas serah memo kepada Lembaga Penasihat SPRM

PUTRAJAYA, RABU, 08 Ogos, 2012: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini menyerahkan memorandum kepada Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat aduan berhubung kontroversi pembahagian petak penjaja bazar Ramadan yang didakwa melibatkan pegawai suruhanjaya itu.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah mendakwa mempunyai bukti pegawai SPRM yang hadir ketika proses pengundian tapak bazar itu bersekongkol dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memanipulasi keputusan undian.

"Pada waktu proses pengundian petak bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan kawasan sekitarnya pada Mei lalu, pegawai SPRM turut hadir, jadi timbul persoalan adakah mereka ditipu atau dibodohkan oleh DBKL?

"Jadi, kami mahu jawapan bertulis daripada lembaga penasihat itu untuk siasat apa yang berlaku sebenarnya walaupun ketika itu SPRM memantau sepanjang masa," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Lembaga Penasihat SPRM berhubung isu itu di sini hari ini.

Turut hadir menyerahkan memorandum itu beberapa wakil peniaga bazar Ramadan sekitar ibu kota.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya percaya terdapat pakatan antara kedua-dua pihak untuk melakukan penyelewengan dan pecah amanah ketika proses pengundian dilakukan.

Kontroversi berhubung petak bazar Ramadan dibongkar oleh Utusan Malaysiabaru-baru ini apabila ada pihak mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit hasil menjual petak itu di beberapa lokasi strategik di Jalan Masjid India, Lorong Fatimah, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Wakaf Orang Tua Buta di Kuala Lumpur.

Lebih mengejutkan apabila kegiatan itu didalangi 'orang dalam' pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut melibatkan peniaga, individu tertentu di dalam persatuan penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya yakin dakwaan itu berasas berdasarkan beberapa bukti kukuh oleh pegawai DBKL yang mengakui amalan tersebut memang berlaku.

"Pada Julai lalu, Ikhlas ada menghantar SMS kepada pegawai DBKL berhubung isu terdapat perjanjian antara beberapa pihak sehingga ada petak di Masjid India tidak dicabut undi dan mengejutkan jawapan diberikan seolah-olah mengakuinya.

"Selain itu, DBKL juga mengakui bahawa sebahagian 500 tapak diserahkan kepada persatuan penjaja di mana ia bukti jelas ada petak tidak diundi," katanya.

Menurutnya, sebelum ini DBKL memaklumkan bahawa semua tapak tersebut akan diundi kecuali beberapa tapak yang diperuntukan kepada persatuan, badan kebajikan dan NGO.

Sementara itu, Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Razali Zakaria berkata, semua NGO dan peniaga kecil di Kuala Lumpur menyokong penuh langkah Ikhlas memperjuangkan isu itu.

"Apa yang kami kesalkan orang yang dapat tapak itu terdiri daripada Datuk, Datin dan orang berpangkat, peniaga kecil macam kami memang tiada tempat.

"Jadi kami minta siasatan dijalankan dan diambil tindakan bukan sekadar mengumumkan keputusan tetapi kemudiannya diamkan sahaja," katanya.

Kata Razali, jika isu tersebut tidak dapat diselesaikan oleh SPRM, pihaknya akan membawa hingga ke pengetahuan menteri terlibat dan memanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment