My Add

Thursday 23 August 2012

Jurukimpal maut ditikam adik ipar

MELAKA, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Gara-gara menegur supaya tidak memukul isteri, seorang jurukimpal maut ditikam adik iparnya dalam satu pergelutan di rumah ibu mangsa di Serkam Pantai di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa, Rashid Ahmad, 46, mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kirinya akibat ditikam dengan pisau oleh suspek yang berumur 41 tahun.

Beliau berkata kejadian bermula apabila mangsa menegur adik iparnya kerana sering memukul isterinya yang berumur 36 tahun yang juga adik kepada mangsa.

"Pertengkaran tersebut diikuti dengan pergelutan di mana suspek kemudiannya mengeluarkan pisau dan menikam pinggang kiri Rashid," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Raja Shahrom berkata suspek yang merupakan seorang pemandu di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya kemudian melarikan diri menaiki kenderaannya iaitu Proton Iswara berwarna hitam dan bernombor plat NCB3205.

"Mangsa dibawa ke Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka pada jam 7.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.40 pagi dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seremban untuk bedah siasat," katanya.- BERNAMA.

No comments:

Post a Comment