My Add

Thursday 9 August 2012

Konglomerat Brazil sahkan FDI AS$6 bilion ke Malaysia

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Ogos, 2012: Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Brazil dijangka meningkat susulan keputusan konglomerat Brazil, EBX Group, melabur AS$6 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI) berimpak tinggi dan pantas di Malaysia.

Keputusan itu dibuat susulan perbualan selama 30 minit antara Presiden Brazil Dilma Rousseff dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang membincangkan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara menerusi usaha sama pintar jangka panjang serta pelaburan strategik berimpak tinggi segera.

Brazil ialah ekonomi negara terbesar di Amerika Selatan yang mempunyai 192 juta penduduk.

Dalam perbualan antara kedua-dua pemimpin pada malam Rabu, Rousseff menyuarakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Najib dan tanggungjawabnya mengurus ekonomi Malaysia.

Beliau berkata Brazil akan menggalakkan syarikat-syarikat negara itu supaya melabur dalam projek-projek FDI berimpak tinggi segera di Malaysia, berdasarkan potensi pertumbuhan negara yang baik hasil daripada dasar ekonomi yang kukuh.

Sambil menyuarakan pandangan positif Rousseff terhadap Malaysia, Pengerusi EBX Group Eike Batista hari ini mengunjungi Najib, yang juga Menteri Kewangan, di Putrajaya.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Nor Mohammed Yakcop dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri. 

"Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dasar-dasar kerajaan, berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang relatifnya baik dalam kedudukan ekonomi dunia semasa.

"Kami kagum terhadap potensi yang boleh ditawarkan oleh Malaysia, dan mengumumkan komitmen kami sebanyak AS$6 bilion untuk Malaysia dalam pelaburan FDI strategik berimpak tinggi yang akan segera dilaksanakan," kata Batista.

Kenyataan itu menyebut Batista akan bekerja sama dengan EPU untuk segera mengenal pasti dan melaksanakan projek-projek strategik di Malaysia.

Brazil menduduki ranking antara yang terbaik di dunia dalam petroleum dan sumber asli, dengan sumber petroleum dianggarkan melebihi 100 bilion tong.

Sementara itu, Rousseff mempelawa Malaysia untuk menjalin usaha sama pintar dengan Brazil menerusi EBX Group bagi memperoleh kedudukan strategik dalam sektor sumber asli dan tenaga.

Ia adalah sebahagian daripada program jaminan tenaga jangka panjang antara kedua-dua negara, dengan Malaysia akan memperoleh bekalan terjamin sumber-sumber tenaga.

Sebagai balasan, Malaysia akan diberikan hak eksplorasi eksklusif dan operasi pengeluaran bersama EBX Group di Brazil, yang kini memiliki sumber-sumber petroleum berpotensi melebihi 10 bilion tong.

Najib menyambut baik inisiatif jaminan tenaga strategik Rousseff dan mengesahkan Malaysia akan bekerja dengan Brazil dalam program jaminan tenaga yang membolehkan negara mempunyai kedudukan kukuh di negara yang mempunyai sumber tenaga yang besar itu.

Beliau berkata Petronas akan menghantar satu pasukan ke Brazil pada September untuk meneruskan potensi itu.

Bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama yang dibincangkan antara Rousseff dan Najib, termasuk kerjasama dalam sektor pertanian dan pendidikan.

EBX Group membangun dan mengurus aktiviti perniagaan dalam perlombongan, logistik, minyak dan gas, hartanah, tenaga, sumber boleh baharu dan hiburan.

EBX Group ditubuhkan pada 1980 dan berpejabat di Rio de Janeiro. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment