My Add

Tuesday 28 August 2012

Lebih 100,000 dijangka hadir Jamuan Aidilfitri Bersama PM

SHAH ALAM, ISNIN, 27 Ogos, 2O12: Lebih 100,000 rakyat jelata pelbagai kaum dijangka hadir ke majlis Jamuan Aidilfitri Bersama Perdana Menteri di padang Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh dekat sini pada 1 September ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama para pemimpin tempatan akan meraikan pengunjung di majlis tersebut.

"Selain merapatkan hubungan di antara rakyat dan pemimpin negara, majlis yang bermula pada pukul 1 hingga 5 petang itu bertujuan mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini menerusi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Objektif utama jamuan itu adalah untuk mengeratkan hubungan rakyat dengan para pemimpin di peringkat Persekutuan. Apa yang kita harapkan sambutan tersebut dapat mewujudkan suasana muhibah seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum, agama serta latar belakang," katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (MTPPNS) berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan penganjuran majlis jamuan itu di sini hari ini.

Hadir sama Koordinator Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Noh berkata, pengunjung yang hadir pada majlis tersebut akan turut dihiburkan dengan persembahan artis-artis tempatan, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Rohana Jalil serta penggiat seni masyarakat berketurunan India dan Orang Asli.

Beliau berkata, perkhidmatan pengangkutan bas di tujuh lokasi iaitu di Stesen Komuter Sungai Buloh, PPR Lembah Subang, Bukit Subang, Kampung Melayu Subang, Kem Sungai Buloh, Kota Damansara dan Bangunan UMNO Shah Alam akan disediakan bagi memudahkan orang ramai hadir ke majlis tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment