My Add

Tuesday 21 August 2012

Menteri minta laporan penuh

Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Ogos, 2012: Kementerian Pengangkutan telah meminta Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyiasat serta menyerah laporan mengenai kejadian kereta api tergelincir dan kerosakan monorel yang berlaku baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (gambar) berkata, berikutan dua kejadian kerosakan monorel yang berlaku selang beberapa hari, beliau telah meminta Prasarana menyerah laporan penuh mengenai kejadian tersebut.

''Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar, saya telah meminta Prasarana untuk menyediakan laporan.

"Walaupun syarikat ini tidak terletak di bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi saya mahu mengetahui sebab berlaku dua kerosakan pada monorel dalam masa yang singkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri di Seri Perdana, di sini semalam.

Mengulas mengenai kejadian kereta api yang tergelincir di Lipis, Pahang pada Sabtu lalu, Cho Ha berkata, punca kemalangan tersebut masih dalam siasatan.

''KTMB telah memberi taklimat berkenaan kejadian itu tetapi punca sebenar kejadian masih disiasat," katanya.

Tiga penumpang dilaporkan cedera parah manakala lapan lagi cedera ringan apabila kereta api yang mereka naiki dari Kuala Lumpur ke Kelantan itu tergelincir.

Sebelum itu, perkhidmatan monorel di ibu negara tergendala dua kali dalam tempoh kira-kira seminggu di mana dalam kejadian 11 Ogos lalu, seramai 183 penumpang terkandas selama dua jam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment