KUALA LUMPUR 22 Ogos, 2012: Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis yang cuba menahannya kerana terlibat dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana dekat sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Md. Nazri Zawawi berkata, sebelum itu polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri berkenaan pada 1.15 pagi sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.
"Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta jenis Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Md. Nazri berkata, kelima-lima suspek berusia 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta dan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi.
"Mereka memecahkan cermin hadapan kereta polis dan dalam situasi cemas itu, polis melepaskan dua das tembakan ke arah seorang daripada mereka. Suspek yang cedera itu dihantar ke Hospital Ampang dan kini dalam keadaan kritikal," katanya.
Md. Nazri berkata, polis menahan empat lagi suspek yang berada dalam kereta tersebut dan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau antaranya kes dadah, samun dan cubaan membunuh. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment