My Add

Friday 24 August 2012

Op Selamat: JPJ Pulau Pinang keluarkan 1,016 saman

JPJ Kedah pula saman 580 penunggang motosikal

BUTTERWORTH, JUMAAT, 24 Ogos, 2012:Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 1,016 saman kepada pengguna jalan raya di negeri itu sepanjang Op Selamat sejak 12 Ogos lepas hingga 12 tengah malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Hassan Yaacob berkata, jumlah itu menurun hampir 50 peratus berbanding bilangan saman yang dikeluarkan pada musim perayaan lepas.

Kebanyakan kesalahan membabitkan pemandu melanggar lampu isyarat, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri dan lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh, katanya kepada pemberita selepas operasi khas motosikal di Plaza Tol Sungai Nyior, di sini malam tadi.

Sebanyak 3,702 kenderaan diperiksa secara rambang di kawasan panas di seluruh negeri sepanjang tempoh berkenaan.

Di ALOR SETAR, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan saman kepada 580 penunggang dan menyita 64 motosikal sepanjang operasi sempena musim perayaan sejak 5 Ogos lepas hingga semalam.

Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, kesalahan tertinggi yang dilakukan penunggang ialah tidak memiliki lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh iaitu sebanyak 166 saman dikeluarkan.

Bilangan kes cukai jalan tamat tempoh juga tinggi sebanyak 94 kes dan JPJ menyita motosikal yang penunggangnya tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh, katanya kepada pemberita selepas operasi terakhir di Lebuhraya Darul Aman, di sini malam tadi.

Katanya, rata-rata penunggang yang ditahan dan didapati melanggar pelbagai peraturan jalan raya memberi alasan mahu mengunjungi rumah saudara-mara sempena Aidilfitri.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment