My Add

Friday 24 August 2012

Majoriti rakyat dapat faedah

  Nor Yakcop
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Golongan terbanyak akan terus mendapat faedah yang melimpah daripada kerajaan dalam Bajet 2013 yang bakal dibentangkan pada 28 September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, selain itu pengukuhan ekonomi akan terus mendapat perhatian Perdana Menteri untuk memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 tercapai.

Justeru, sudah tentu Najib akan memastikan negara akan terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama mengawal defisit.

"Yang pasti, tiada golongan yang terpinggir dalam Bajet 2013 nanti," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Mengulas mengenai hutang kerajaan yang tinggi, Nor Mohamed berkata, ia bukan satu isu besar kepada negara.

Bekas Menteri Kewangan Kedua itu berkata, hutang Malaysia sebenarnya jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain termasuk Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah yang memiliki hutang melebihi 100 peratus.

Tegasnya, apa yang lebih penting, hutang-hutang yang dipinjam bukan bertujuan untuk membayar gaji kakitangan sebaliknya bagi tujuan pembangunan negara.

"Kita tidak bayar gaji dengan terpaksa berhutang. Gaji-gaji kakitangan dibayar menggunakan hasil kutipan wang.

"Ini menunjukkan keupayaan kerajaan menguruskan wang dengan cara berhemah dan berhati-hati," katanya.

Lagipun, tambahnya, kebanyakan hutang kerajaan diperoleh daripada sumber-sumber dalaman dan bukannya di luar negara.

Menurutnya, jumlah hutang di luar negara hanya sedikit dan kebiasaannya hutang berkenaan dijelaskan sebelum tarikh matang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment