My Add

Thursday 23 August 2012

Malaysiakini tidak beretika, jadi alat burukkan kerajaan

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Ogos, 2012: Portal berita kontroversi, Malaysiakini dianggap tidak beretika dan profesional kerana sering menonjolkan diri sebagai alat pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Malaysiakinisudah tidak relevan sebagai portal sumber berita kepada masyarakat kerana hanya mengagungkan pembangkang.

"Ketika awal penubuhan mereka, kita dapat melihat fair reporting namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka begitu agresif memburukkan kerajaan.

"Tidak cukup dengan itu, mereka seolah-olah bebas untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan menentang kerajaan, komen-komen pembaca tanpa pantauan sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata berbaur lucah dan tidak elok kepada pemimpin. Bagi Malaysiakini, kononnya itu adalah kebebasan media kepada pembaca," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kritikan pelbagai pihak yang mendakwa Malaysiakini sudah menyimpang daripada perjuangan asal sebagai penyampai sumber berita kepada umum.

Malaysiakini diketuai Ketua Pengarang kumpulannya, Steven Gan.

Menurut Sivamurugan, perbuatan seperti memperlekehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kolum Cartoonkini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Beliau merupakan Perdana Menteri, bukan tokoh sebarangan yang boleh dijadikan sebagai bahan lawak jenaka. Tidak cukup dengan itu, Malaysiakini juga gemar menyiarkan ruangan-ruangan seperti surat pembaca yang mengkritik kerajaan sesuka hati.

"Apakah ini yang dipanggil beretika? Semua inisiatif kerajaan nampak salah pada pandangan mereka, apa sahaja pembangkang lakukan, semuanya dianggap sebagai kebaikan untuk rakyat negara ini," tegasnya.

Beliau turut menggesa agar Malaysiakini lebih berhati-hati dalam memantau pendapat pembaca mereka selain berlaku lebih adil dalam setiap laporan mereka.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Pulau Pinang,Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff berpendapat kerajaan perlu tegas dalam menangani kehadiran media baru seperti portal-portal berita propembangkang termasuk Malaysiakini.

"Saya hendak cadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan undang-undang siber untuk membendung aliran media baru dari terus bermaharajalela mengkritik kerajaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment