My Add

Wednesday 22 August 2012

Masyarakat Orang Asli beragama Islam dahagakan bimbingan

KUALA LUMPUR, EABU, 22 Ogos, 201:: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negara ini diminta bergerak lebih aktif dalam memberi bimbingan agama kepada masyarakat Orang Asli yang baru memeluk Islam serta memberi pendedahan tentang agama itu kepada mereka yang masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang.


Penerima anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 2012, Hussein Ngah Yin, berkata masyarakat Orang Asli yang baru memeluk agama Islam dahagakan bimbingan supaya mereka dapat mengamalkan ajaran agama yang baru mereka anuti itu dengan baik.

"Justeru kami memerlukan bimbingan daripada NGO Islam serta individu Islam supaya kami lebih memahami erti sebenar beragama bagi mengelakkan pelbagai pengaruh negatif masyarakat luar sehingga boleh menjejaskan keimanan kami," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Hussein, 59, yang juga ketua masyarakat Orang Asli Bukit Kala, Gombak, berkata pengaruh serta tingkah laku negatif oleh segelintir masyarakat Islam serta kurangnya bimbingan menyebabkan beliau pada awalnya tidak tertarik kepada agama Islam.

Namun, selepas mendapat bimbingan daripada rakan-rakan Islam, beliau memeluk agama itu pada 2008.

Justeru beliau berharap sukarelawan NGO Islam dapat lebih kerap mengunjungi perkampungan masyarakat Orang Asli bagi mengikat tali silaturahim dan mengajar penduduk mengenai Islam.

"Kebanyakan kami dilahir dan dibesarkan dengan tidak mempunyai agama untuk dianuti dan pada kebiasaannya kami akan memilih agama apabila sudah dewasa dan mampu berfikir sendiri," kata Hussein yang juga penerima anugerah Saudara Baru Mithali Selangor 2008.

Mengenai perkampungan Orang Asli Bukit Kala, beliau berkata, perkampungan itu mempunyai kira-kira 3,500 penduduk dengan 30 peratus adalah penganut agama Islam, 10 peratus Kristian manakala selebihnya masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment