My Add

Wednesday 22 August 2012

Tahap kesedaran mengenai mercun masih rendah: FOMCA

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Ogos, 2012: Orang ramai perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membanteras penjualan mercun dan bunga api tanpa permit yang dijual secara meluas di pasaran pada setiap musim perayaan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata tahap kesedaran mengenai bahaya bermain mercun di kalangan orang ramai masih rendah.

Beliau berkata, polis hanya membenarkan penjualan dua jenis mercun di pasaran iaitu bunga api jenis 'Pop Pop' dan 'Happy Boom' dan ia juga memerlukan permit polis.

"Apa yang berlaku sekarang ialah wujudnya permintaan daripada orang ramai maka sudah pasti peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyeludup mercun dari luar negara untuk mengaut keuntungan pada musim perayaan," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Muhammad Sha'ani berkata orang ramai tidak boleh 'buat tak tahu' atau mengabaikan saja masalah penjualan mercun haram itu kerana ia membabitkan semua orang.

"Setiap tahun, mesti ada kes kecederaan akibat bermain mercun, lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa kes menyebabkan mangsa kehilangan jari, tangan atau kecederaan di mata," katanya yang baru dilantik sebagai Timbalan Presiden FOMCA baru-baru ini untuk tempoh tiga tahun dari 2012 hingga 2014.

“Ibu bapa juga berperanan untuk mendidik anak mereka dan menerangkan mengenai bahaya bermain mercun buatan sendiri, mercun yang diharamkan dan bermain mercun tanpa pengawasan orang dewasa.

"Kehilangan anggota badan seperti jari atau tangan akibat bermain mercun pada usia yang muda adalah sesuatu merugikan, lebih-lebih lagi ia berpunca daripada kesalahan diri sendiri," katanya.

Beliau berkata, apa yang menghairankan bagaimana mercun haram itu dapat diseludup masuk ke negara ini dan dijual di pasaran terbuka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment