My Add

Monday 27 August 2012

Tiada kopitiam di Terengganu milik sijil halal

KUALA TERENGGANU, AHAD, 26 Ogos, 2012: Tiada kopitiam di negeri ini yang memiliki sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat ini, kata Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh.

Beliau bagaimanapun menjelaskan sijil halal tidak diwajibkan ke atas pengusaha kopitiam di negeri ini dan ia hanya sebagai satu aspek penambahbaikan terhadap operasi mereka.

"Kesedaran di kalangan pengusaha kopitiam masih rendah dan majoritinya memandang remeh mengenai kepentingan sijil halal. Kita tidak boleh memaksa pengusaha kopitiam untuk memohon sijil halal JHEAT kerana ia bukan wajib, cuma berharap mereka akan berusaha mendapatkannya sebagai satu aspek penambahbaikan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya JHEAT berharap agar orang ramai berhati-hati ketika memilih tempat untuk menjamu selera kerana hanya premis makanan yang menerima sijil halal JHEAT sahaja benar-benar mematuhi kriteria halal jabatan itu.

"Jika orang ramai menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dengan "menggesa" pengusaha kopitiam mendapatkan sijil halal JHEAT, pasti ia akan memberi kesan terhadap operasi perniagaan mereka," katanya.

Sehingga kini, katanya hanya satu kopitiam di Kemaman sahaja telah memohon kepada JHEAT untuk sijil halal dan ia masih dalam proses penelitian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment