My Add

Wednesday 22 August 2012

Mustapa selar khatib burukkan pemimpin

*MUSTAPA Mohamed menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah, Jeli, semalam.

JELI, SELAA, 21 Ogos, 2012: Tindakan segelintir khatib di beberapa kampung di negeri ini yang cuba menanam kebencian terhadap kepimpinan negara yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi khutbah Aidilfitri baru-baru ini amat dikesali.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, khutbah yang disampaikan itu juga didakwa mengandungi banyak unsur kecaman kepada pemimpin dan sistem pemerintahan di negara ini.

Malah, kata beliau, lebih teruk lagi ialah apabila pada satu peringkat khutbah yang disampaikan itu turut menyamakan negara ini dengan negara yang diperintah oleh kuasa diktator.

"Kita telah menerima laporan mengenai isi kandungan khutbah hari raya seumpama itu yang disampaikan di sesetengah kampung di Kelantan.

"Tidak wajar untuk menyamakan negara kita dengan negara lain yang dikuasai pemerintahan diktator dan ia adalah fitnah dan dusta yang nyata," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Darul Falah di sini hari ini.

Lebih 10,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Kelantan membanjiri rumah terbuka berkenaan yang bermula seawal pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira 4 petang ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menambah, rakyat negeri ini sudah pasti tidak boleh menerima khutbah yang berbaur hasutan dan fitnah seperti itu.

"Hakikatnya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib tidak melakukan penindasan, kezaliman dan ketidakadilan kepada rakyat seperti negara diktator yang digambarkan di dalam khutbah itu.

"Kita membantu rakyat, selalu turun padang dan yang penting kita mempunyai komitmen tinggi untuk membawa perubahan terhadap negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak yang sengaja memburuk-burukkan kepimpinan negara supaya membuat penilaian dan melakukan penyelidikan sama ada benar atau sebaliknya kerajaan memerintah secara diktator. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment