My Add

Thursday 23 August 2012

Pemberian motosikal FAMA bantu usahawan kecil berdikari

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 23 Ogos, 2012:: Pemberian motosikal roda tiga oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Terengganu berjaya mengubah kehidupan seorang peniaga ikan air tawar kecil-kecilan di sini.

Memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu, Mohd Khairi Yassin, 30, kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,000 sehari, sekali gus memberi kehidupan yang lebih selesa kepada isteri dan dua anaknya.

"Pemberian jentera ini menjimatkan belanja, kerana sebelum ini saya menyewa van orang untuk menjaja dari kampung ke kampung kerana tidak ada wang untuk membeli kenderaan sendiri," katanya kepada BERNAMA, di sini.

Beliau antara 20 usahawan kecil di negeri ini yang menerima kenderaan bernilai RM7,000 itu.

Mohd Khairi berkata, dengan bantuan motosikal itu juga beliau dapat menjimatkan kos sewa van sebanyak RM200 dan petrol RM60 setiap hari.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada FAMA negeri ini dan syukur kerana Allah perkenan mengubah nasib dan keluarga saya daripada dibelenggu kemiskinan," katanya.

Mohd Khairi berkata, beliau mampu menjual lebih 100 kilogram ikan sehari yang diternak dalam sangkar di Sungai Terengganu.
"Selain penternakan ikan, saya juga mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kawasan Beladau Selat seperti kacang panjang, timun dan lain-lain sebagai tanaman sampingan," katanya.

Mengakui kesenangan tidak mudah dikecapi, Mohd Khairi berkata, beliau memulakan hari seawal jam 6 pagi setiap hari dan akan hanya pulang selepas semua ikan dan sayurnya habis dijual.

Selain menjaja dari kampung ke kampung, beliau juga menjual hasil ternakan ikan air tawarnya di Pasar Tani Padang Hiliran pada setiap Khamis dan Sabtu.

Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai buruh kontrak juga berhasrat membesarkan perniagaannya dan sedang mengumpul wang untuk membeli sebuah van. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment