My Add

Wednesday, 1 August 2012

Pengawal keselamatan didakwa dera anak saudara

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Ogos, 2012: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mendera anak saudara lelakinya yang berumur tujuh tahun dengan membaling sebuah periuk ke arahnya.

G. Devarajan, 44, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap K. Pavitran di bahagian dapur rumahnya beralamat di no 10 J11, Rumah Panjang Awam, Jinjang Utara, Jinjang di sini, antara 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, pada 19 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh tidak tinggal bersama mangsa dan mengganggunya.

Devarajan diwakili peguam S. Narasimhan memohon jaminan tersebut dikurangkan memandangkan anak perempuan tertuduh yang hadir sebagai penjamin hanya bekerja biasa di sebuah kedai kasut.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 5 Sept ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment