My Add

Thursday 2 August 2012

PPIM kesal sikap gemar berbuka di hotel

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Ogos, 2012: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan sikap segelintir umat Islam yang lebih gemar berbuka puasa dengan bufet Ramadan di hotel dan restoran berbanding berbuka puasa di rumah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, bulan Ramadan selain bulan berjimat cermat, ia juga merupakan bulan untuk umat Islam merapatkan hubungan silaturahim sesama mereka dan anggota keluarga.

"Kenapa perlunya kita nak berbuka di luar. Di rumah bersama keluarga lebih merapatkan ikatan kasih sayang selain jimat. Malah lebih penting juga ukhuwah sesama Islam dengan jiran tetangga boleh diperkukuh.

"Pada mereka yang berbuka puasa di luar, adalah menjadi tanggungjawab anda memastikan menu yang dihidang untuk berbuka puasa itu halal. Bukahkah lebih elok berbuka puasa di rumah sahaja yang dah tentu halal?" katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai trend umat Islam khususnya di kota raya untuk berbuka puasa di hotel-hotel atau restoran yang menyediakan bufet Ramadan termasuk kejadian sebuah restoran yang menyediakan juadah berbuka puasa yang dicampur arak.

Dr. Ma'amor juga berkata, umat Islam disaran hanya makan di premis yang mempamer logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

"Mereka sendiri yang kena pastikan tempat itu ada logo halal Jakim dan sebagainya. Penguatkuasaan juga pada saya perlu lebih ketat supaya tiada lagi umat Islam teraniaya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment