My Add

Tuesday 21 August 2012

Rakyat di luar negara digesa jadi duta kecil

*NAJIB Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Dr. Rais Yatim dan isteri, Masnah Rais ketika sesi telesidang video dengan wakil-wakil kedutaan dari lima buah negara di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2012 di Seri Perdana, Putrajaya, kelmarin. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Ogos, 2012: 20 Ogos - Walaupun dalam kesibukan melayan berpuluh-puluh ribu pengunjung yang membanjiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2012 di Seri Perdana, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap meluangkan masa untuk mengucapkan selamat hari raya kepada rakyat di luar negara melalui telesidang video.

Semasa telesidang video dengan rakyat Malaysia di Canberra, Tokyo, Beijing, Jakarta dan London, Perdana Menteri menyeru mereka memainkan peranan tersendiri sebagai duta kecil dengan menceritakan kejayaan dan keunikan Malaysia kepada rakan-rakan.

''Sebagai duta-duta kecil, tidak kira sama ada kita sebagai pelajar atau anggota dalam pejabat kedutaan, kita boleh tunjukkan kelebihan Malaysia kepada orang di luar negara," katanya dalam sesi telesidang video tersebut di Seri Perdana di sini semalam.

Sesi telesidang video tersebut turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bersama isteri Datin Seri Masnah Rais serta Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay dan Datuk Richard Riot.

Najib berkata, Malaysia telah mendapat banyak kejayaan dan pengiktirafan di pentas dunia manakala pertumbuhan ekonomi 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini merupakan pencapaian yang menongkah arus ekonomi global yang tidak menentu.

''Prestasi ekonomi ini merupakan bukti bahawa kalau kita memberi sokongan padu kepada agenda transformasi melalui cara masing-masing, maka kita boleh capai kadar pertumbuhan yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau harap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai juara serantau dan global di kalangan syarikat.

''Kita telah beri impak yang besar apabila dua penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) baru-baru ini iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dan IHH Healthcare Berhad telah mencapai kejayaan luar biasa berbanding IPO lain.

''Kita berharap kejayaan ini dapat melahirkan rasa bangga warga Malaysia dari dalam dan luar negara," katanya.

Najib pada masa yang sama mengingatkan pelajar Malaysia supaya belajar bersungguh-sungguh untuk menyumbang kepada kejayaan negara pada masa depan.

Dalam pada itu, Rosmah yang turut menyertai sesi telesidang video tersebut menasihatkan pelajar Malaysia supaya tidak lupa ibu bapa di rumah serta kembali berkhidmat di negara selepas tamat pengajian.

''Sebagai seorang ibu, saya ingin menasihatkan anak-anak supaya menelefon mak dan ayah serta mohon ampun daripada mereka pada musim perayaan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment