My Add
Tuesday, 28 August 2012
Rakyat Sabah sedar keprihatinan Najib - Musa
*MUSA Aman bersalaman dengan orang ramai pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Hajiji Noor di Tuaran, Sabah, kelmarin.
TUARAN, ISNIN, 27 Ogos, 2012: Rakyat Sabah menyedari kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin terhadap seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, rakyat pelbagai kaum di negeri ini amat menghargai segala usaha yang dilakukan Najib dan sentiasa memberi sokongan kepada BN.
"Saya yakin rakyat negeri ini menyokong Gagasan 1Malaysia dan selama ini banyak projek dan program pembangunan yang beliau (Najib) perkenalkan untuk kesejahteraan rakyat.
"Itulah sebabnya kenapa kita melihat ramai orang menghadiri perayaan atau sambutan bagi menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan BN," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Hajiji Noor di sini semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan menteri-menteri Kabinet negeri.
Menurut Musa, segala program yang dilaksanakan Najib telah dapat dirasai seluruh rakyat di negeri ini termasuk di luar bandar.
Katanya, pembangunan pesat Sabah pada masa ini juga membuktikan kesungguhan dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap penduduk negeri ini.
Dalam pada itu Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, beliau menaruh keyakinan negeri ini akan terus menjadi kubu kuat BN pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, beliau juga yakin rakyat Sabah akan menolak pembangkang yang hanya pandai menabur janji.
Sementara itu, mengulas mengenai undang-undang anti lompat parti yang dicadangkan DAP, Musa berkata, ia hanya gimik politik parti pembangkang itu.
"Kami tidak percaya dengan apa yang mereka lakukan," ujarnya. - UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment