My Add

Thursday 9 August 2012

RBC rangsang minat belia luar bandar berniaga

PUTRAJAYA, RABU, 08 Ogos, 2012: Pertandingan Pelan Perniagaan Luar Bandar (RBC) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mampu merangsang minat belia kampung untuk menjana pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, inisiatif tersebut bukan hanya menggalakkan belia berniaga tetapi mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk dan menjadikan kawasan luar bandar menarik untuk didiami.

"Saya percaya dengan geran perniagaan berjumlah RM500,000 hingga RM2 juta yang diperuntukkan kepada pemenangnya, sudah pasti ia memberi motivasi kepada belia untuk memajukan kampung mereka," katanya pada sidang akhbar mengenai RBC di sini hari ini.

RBC merupakan pertandingan menyediakan rancangan perniagaan (RP) dalam kalangan belia membabitkan sektor pertanian, perkhidmatan, pelancongan desa dan pembuatan.

Mohd. Shafie berkata, sehingga 3 Ogos lalu, sebanyak 522 RP dengan nilai projek berjumlah RM734 juta telah diterima.

Daripada jumlah itu, beliau menambah, sebanyak 383 RP adalah daripada perniagaan yang telah beroperasi manakala 179 RP belum beroperasi.

"Setelah melalui dua tapisan, sejumlah 30 RP telah disenarai pendek dan ia akan dinilai oleh 10 pasukan penilai kementerian dengan kerjasama Bank Rakyat serta Mara negeri selama dua hari bermula esok.

"Pemenangnya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Ogos ini," katanya.

Dalam sidang akhbar yang sama, Mohd. Shafie berkata, pihaknya turut menganjurkan pertandingan Anugerah Desa Sejahtera 2012 untuk merangsang penglibatan aktif masyarakat kampung.

Katanya, pertandingan itu melibatkan tiga kategori utama iaitu kampung tradisional, kampung baru Cina dan kampung Orang Asli.

"Selepas penyertaan ditutup pada bulan lalu, kami telah menyenarai pendek 100 penyertaan bagi kampung tradisional dan kira-kira 90 untuk kampung orang Asli.

"Tetapi bagi kampung baru Cina, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan masih dalam proses penelitian," katanya.

Beliau berkata, keputusan pertandingan itu akan turut diumumkan oleh Perdana Menteri pada 31 Ogos di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Kemerdekaan.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, Slogan Janji Ditepati yang ditonjolkan oleh Barisan Nasional (BN) amat tepat bagi menggambarkan kejayaan kerajaan berkhidmat untuk rakyat walaupun mungkin belum sampai ke tahap 100 peratus.

Katanya, pembangunan dan kemajuan yang dinikmati sejak 55 tahun lalu adalah bukti komitmen kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment