My Add

Thursday 9 August 2012

Teraju perlu beri penjelasan - PKMM

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
KUALA LUMPUR, RABU, 08 Ogos, 2012: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) digesa mengumumkan senarai syarikat bumiputera yang terlibat dalam projek transit aliran massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang kerana didapati hanya tujuh syarikat mendapat kontrak projek tersebut.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, kebanyakan yang ditawarkan kontrak itu adalah terdiri daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

''PKMM meminta penjelasan Teraju bagi mendapatkan senarai syarikat bumiputera yang terlibat dengan projek tersebut, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan diberikan.

''Kami kesal kerana Teraju gagal untuk melaksanakan amanah yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar lebih ramai kontraktor bumiputera terbabit dalam projek mega tersebut," katanya di sini hari ini.

Najib sebelum ini mengumumkan peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion telah dijana untuk manfaat bumiputera menerusi inisiatif yang dilancarkan oleh Teraju bulan lalu.

Antara inisiatif menyumbang kepada jumlah itu ialah melalui dasar untuk memberi peluang kepada syarikat bumiputera terlibat dalam projek MRT melalui MRT Corporation Sdn. Bhd.

Mokhtar turut meluahkan kekesalannya terhadap Teraju dan Unit Penyertaan Bumiputera kerana gagal berbincang dengan PKMM dalam isu tersebut.

''Tindakan itu menunjukkan seolah-olah mereka cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

''Jika Teraju boleh beri penjelasan, kami akan berterima kasih dan seterusnya menghilangkan pelbagai tanggapan negatif berhubung perkara itu," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tetap berterima kasih kepada Teraju kerana berusaha meningkatkan pembabitan kontraktor kecil bumiputera kelas D, E, dan F dengan pakej ekonomi yang dianggar bernilai RM200 juta melalui sistem undian.

''Hanya itulah harapan yang ada untuk direbut lebih kurang 3,000 kontraktor bumiputera," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment